Wednesday, May 18, 2005

Cerpen Terbaik Sup Tulang

Kelihatan sebuah rumah yang usang, berdindingkan buluh dan bertanggakan batang kelapa. Di serambi rumah itu terdapat beberapa orang anak kecil yang nampaknya lesu dan letih.

Atan menghampiri rumah itu sambil memberi salam, lalu keluar seorang budak perempuan yang berumur dalam lingkungan 11 tahun. Atan bertanya, "Mana emak?" Lalu budak itu menjawab dengan suara perlahan, "Mak pergi menoreh dan bapak pergi kerja". "Habis adik yang kecik ini siapa jaga?" tanya Atan kebingungan. Disitu terdapat seorang bayi dalam lingkungan umur 5 bulan yang terbaring diatas lantai beralaskan kain batik yang sudah lusuh. "Adik ni saya yang jaga" jawab budak perempuan itu. "Bapak mana?" "Bapak pergi kerja tangkap ikan, petang nanti baru balik".

Tina adalah anak yang ketiga dari delapan orang adek beradek. Abang2nya juga tiada dirumah kerana pergi menolong ibunya menoreh getah bagi menyara kehidupan keluarga mereka yang serba kekurangan itu.

Atan termenong sejenak lalu bertanya, "Adik puasa hari ni?". Sambil mengesat peluh didahi dan tersenyum lemah, Tina berkata, "Sama aje pakcik, puasa ke tidak sebab saya adek beradek cuma makan satu kali sehari".

Mendengar kata-kata itu Atan menjadi terharu. Timbul perasaan kasihan pada Tina yang masih kecil yang tidak berkesekolah itu. "Saya suka bulan puasa pakcik, sebab dapat rasa kuih yang orang kasi". Atan cuba mengukirkan senyuman secara paksa bila mendengar kata2 Tina.

Semasa Atan meninggalkan rumah itu, kebetulan disimpang jalan ada orang menjual daging lembu tempatan. Atan membeli satu kilo tulang lembu, rempah sup dan 10 kg beras untuk di sedekahkan kepada keluarga Tina.

Sebak hati Atan bila melihat Tina adek beradek melompat-lompat kesukaan bila Atan menyerahkan barang2 itu pada mereka. Dari keterangan yang Atan dapat dari Tina, jelaslah mereka tidak memakan daging sejak dari raya korban tahun lepas.

Seminggu kemudian Atan datang lagi kerumah Tina. Adek beradek Tina menyambut kedatangan Atan dengan berlonjak gembira dan mengelilinginya di depan pintu. Pada hari itu Atan dapat berjumpa dengan ibu Tina, Makcik Som. Makcik Som menyambut kedatangan Atan dengan gembira dan beberapa kali mengucapkan terima kasih kepadanya. Makcik Som menceritakan tentang kesusahan keluarganya kepada Atan sambil mengesat airmata yang tak berhenti-henti membasahi pipinya.

"Dah makan?" tanya Atan kepada anak kecil Makcik Som yang berumur kira2 4 tahun.
"Dah, makan sup tulang, sedap".

Pilu hati Atan bila Makcik Som memberitahunya bahawa sudah seminggu mereka memakan sup tulang yang Atan berikan pada mereka tempoh hari. "Seminggu makan sup tulang?" bisik Atan pada dirinya sendiri.

Menurut Makcik Som, daging yang direbus itu diberi makan anak2nya. Kemudian tulang2 daging itu semuanya dikutip dan direbus semula untuk malam keesokannya. Begitulah yang dilakukan oleh Makcik Som setiap hari. Katanya, "Tak boleh makan isi, boleh makan air rebusan tulang itu sudah memadai buat Cik Som sekeluarga."

Atan hanya menundukkan kepalanya tidak dapat berkata apa-apa kerana menahan sebak didada.

Friday, April 01, 2005

Pertandingan Menulis Cerpen Dan Puisi Anugerah Pena Emas 2005

Image Hosted by ImageShack.us

Pada 29 Mac 2005 yang lalu, saya ada terbaca dalam surat khabar Berita Harian, Singapura mengenai PERTANDINGAN MENULIS CERPEN DAN PUISI merebut Anugerah Pena Emas 2005.

Pertandingan Anugerah Pena Emas kini ingin mendapatkan cerpen atau puisi yang terbaik, paling asli dan belum pernah diterbitkan, ciptaan PENULIS SINGAPURA (atau Penduduk Tetap Singapura).

Anda boleh mendapatkan borang penyertaan rasmi dari pejabat Majlis Seni Kebangsaan (NAC) atau melalui lelaman internet NAC di: www.nac.gov.sg

Tarikh tutup penyertaaan ialah pada 23 Mei 2005.

Pemenang setiap anugerah akan berpeluang menerima $10,000 dollar berupa wang tunai dan geran peningkatan.

Pertandingan ini dianjurkan oleh National Arts Council Singapore dan ditaja oleh Press Foundation of Singapore dan juga Singapore Press Holdings.

Kawan2 yang berminat untuk menyertai pertandingan ini jangan lepaskan peluang untuk menguji bakat anda.

* Sila rujuk iklan di Berita Harian Singapura pada tarikh 29 Mac 2005, muka surat 05.

Sunday, March 20, 2005

Si Kedekut

Lina sedang menunggu bas untuk pulang kerumah. Memang sudah menjadi tabiat Lina suka membaca buku ketika menunggu bas tiba. Lina memakan biskut dan membaca buku. Tiba2 dia terperasan ada tangan lelaki yang duduk disebelahnya turut mengambil biskut dari bungkusan yang diletakkan disebelahnya itu. Setiap kali Lina mengambil biskut itu, lelaki itu pun akan turut mengambil sama. Dalam hati Lina menyumpah-nyumpah lelaki itu, "Tak malu punya jantan, dah la tak mintak izin, makan banyak pulak tu ... pencuri!" rungut Lina di dalam hati.

Lelaki yang berkulit sawo matang itu kelihatan tenang sahaja. Sambil mengunyah sekali-sekala lelaki itu menjeling ke arah wajah Lina. Hinggalah sampai ke biskut yang terakhir terdapat dalam bungkusan itu. Lina menunggu apakah reaksi lelaki itu seterusnya.

Sambil tersenyum lelaki itu mengambil biskut yang terakhir itu lalu dipatahkan dua lalu diberikan separuh kepada Lina. Walaupun Lina merasa marah dia tetap menahan dirinya dari memarahi lelaki itu. Dengan kasar Lina merampas biskut yang separuh itu dan menunjukkan mukanya yang masam macam cuka. Dalam hati dia berkata, "Berani betul jantan ni. Memang muka tak tahu malu. Pencuri besar..!"

Kedua-duanya terus duduk diam membisu sehingga bas tiba. Sambil menarik nafas panjang seolah olah baru lepas dari satu seksaan Lina terus bergerak menaiki bas meninggalkan lelaki itu sendirian.

Sampai ditempat duduk, Lina membuka beg tangannya untuk mengambil barang. Alangkah terkejutnya dia bila melihat satu bungkusan biskut berada di dalam begnya masih elok belum terbuka. "Jika biskut ni ada dalam beg aku, biskut siapa yang aku makan tadi?" tanya Lina sendiri. Tak syak lagi memang biskut yang dimakan oleh Lina adalah kepunyaan lelaki tadi.

Alangkah malunya Lina bila dia mengingat kembali segala tindakannya terhadap lelaki itu. Lelaki itu sanggup berkongsi biskut dengannya sehingga biskut yang terakhir walaupun Lina telah menunjukkan reaksi marah dan tidak senang padanya.

Bas yang dinaiki Lina berjalan terus. Lina menyesali sifat kedekutnya dan tidak mahu berkongsi dengan orang lain. Kini dia menyedari bahawa dialah pencuri biskut yang sebenar.....!

Saturday, March 05, 2005

Memikir masa hadapan

Siti tak dapat melelapkan mata. Lampu bilik sudah dipadamkan. Dipandangnya ke kiri dan ke kanan, kelihatan samar2 semua kawan2 kolej yang seasrama dengannya sedang tidur nyenyak. Sambil berbaring diatas katil, Siti tersenyum bila terkenangkan peristiwa berkelah bersama kawan2nya semalam di Tanjung Balau.

Awal2 lagi Siti sudah bangun untuk menunaikan solat subuh. Ketika itu hujan turun selebat-lebatnya disertai petir dan guruh berdentam-dentum. Selesai solat subuh Siti mengejutkan kawan2nya untuk menyiapkan makanan untuk dibawa pergi berkelah hari itu. Lebih kurang pukul sebelas pagi, Siti dan kawan2 bertolak keluar dari asrama menuju ke Tanjung Balau. Perjalanan dari Skudai ke Tanjung Balau mengambil masa lebih kurang dua jam.

Siti dengan rakusnya menghirup udara pantai yang nyaman. Cuaca ketika itu sungguh cerah dan redup. Tak ramai orang yang datang ke Pantai itu. Kawan2 Siti ada yang tak sabar untuk berenang terutama sekali Munah. Siti duduk ditepi pantai sambil bermain-main air. Dia seronok melihat Munah dan Sara berlumba-lumba berenang. Kawan2 yang lain ada yang baring dibawah pokok dan ada yang sedang makan juadah yang mereka sediakan pagi tadi.

Munah berteriak, "Siti marilah sini berenang, Nah boleh ajarkan". Siti hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. Sebenarnya ini adalah kali kedua Siti datang ke pantai ini bersama kawan2. Kali pertama dulu Munah sudah pun mengajar Siti berenang dengan menggunakan pelampong. Siti teringat ketika belajar dulu dia banyak tertelan air laut yang masin itu. Akhirnya dia hanya berendam sampai dua tiga jam.

Siti lebih suka duduk ditepi pantai dan melihat orang berenang. Siti berkata sendiri "Kalau kat Port Dickson jangan harap dapat berenang macam ini". Memang dah menjadi tumpuan orang2 Kuala Lumpur dan orang Seremban untuk berkelah pada hujung minggu ke Port Dickson. Jadi tak hairanlah kalau pantai Port Dickson penuh sesak dengan orang.

Siti masih belum mengantuk lagi. Fikirannya melayang pula kepada neneknya. Dah lama Siti tak menjenggok neneknya. Padahal bukannya lama sangat perjalanan kerumah neneknya dari asrama, hanya dua jam sahaja. Siti mengeluh.

Siti teringat pula malam tadi dia hadiri satu Pertandingan Akustika anjuran budak2 kolej. Siti dapat tempat duduk VIP dihadapan stage kerana dia mewakili kolejnya. Siti puas hati kerana dapat menyaksikan persembahan dengan jelasnya. Siti betul2 seronok dan terhibur bila ada seorang peserta yang menyanyikan lagu Widuri kegemarannya dengan alunan dan nada suara yang sangat merdu. Siti pasti penyanyi itu akan menang pertandingan malam itu ke peringkat akhir. Bermacam-macam gelagat peserta yang mencuit hati Siti, ada yang tak ada suara, ada pula yang suranya sumbang tapi Siti kagum dengan semangat berani mereka.

Siti terfikir pula tentang pelajaran. Tak ramai pelajar melayu yang dapat tumpukan pelajaran sampai mendapat kelas pertama. Siti pun faham kerana dia juga melaluinya. Siti terkenangkan pengorbanan dan harapan ibubapanya yang bertungkus lumus mencari wang untuk pelajarannya. Siti bertekad mahu menunjukkan contoh yang baik pada adik2nya yang masih kecil. "Aku mesti belajar dengan bersungguh-sungguh dan mendapat markah cemerlang", bisik Siti.

Sambil memejamkan mata Siti tak sabar untuk pulang minggu hadapan berjumpa dengan ibubapa dan adik2 tersayang.

Monday, February 28, 2005

Seribu Persoalan Yang Tak Terjawab

Siti merasa bosan. Apa yang dia buat semuanya serba tak kena. Sambil berbaring telentang diatas katilnya yang empok dia teringatkan Azman. Siti memang sukakan Azman satu ketika dahulu. Bahkan Siti pernah memberitahu kawan2nya bahawa dia sanggup menjadi anak dara tua jika lelaki yang ingin melamarnya tidak mempunyai ciri2 seperti yang ada pada diri Azman. Tampan, baik hati dan suka berjenaka. Tapi setelah dia semakin dewasa dan matang, Siti menyesal bila dia teringat kembali kata2nya dahulu. Siti merasakan bahawa hidupnya sepi dan tidak ada apa yang menarik lagi.

Siang tadi Siti menerima panggilan talipon dari Azman. Siti tak menyangka sama sekali Azman akan menaliponnya dirumah. Inilah kali pertama Azman berani berbuat demikian. Ibu dan bapa Siti kebetulan tiada dirumah. Setelah bertanya khabar dan berbual-bual hampir satu jam, Azman akhirnya mengajak Siti keluar makan tengah-hari. Siti menyangka Azman hanya bergurau tapi setelah Azman beriya2 benar mengajaknya, Siti menjadi serba salah dan terus menolak pelawaan Azman dengan alasan dia kurang sihat hari itu.

Sebenarnya Siti dah malas nak berkawan dengan lelaki walaupun hanya sekadar kawan biasa. Siti dah serik untuk jatuh cinta. Pada pendapat Siti semua orang yang bercinta bermula dengan berkawan biasa, lepas tu suka, lepas tu putus cinta dan terus merana.

Ramai kawan2 Siti yang menasihatinya untuk terus berusaha dan jangan berputus asa. Tapi Siti sudah hilang keyakinan diri setelah di kecewakan kali ketiga. Siti memejamkan matanya. Fikirannya sarat dengan seribu persoalan yang tidak terjawab.

Sunday, February 27, 2005

Cerpen Hati Seorang Gadis

Siti merasa ghairah kerana ini adalah kali pertama dia menulis didalam blog. Sebenarnya Siti tak tahu apa yang hendak ditulisnya. Keinginan untuk menulis didalam blog timbul apabila Siti membaca tulisan jurnal kawan2 seasrama dengannya. Setiap kali Siti melungsuri lelaman internet dan membaca jurnal mereka, keinginannya untuk menulis semakin meluap-luap. Lebih2 lagi bila dia membaca jurnal Ana, kawan baiknya.

Siti memang dari dulu lagi suka menulis diary. Pernah pada satu hari ibu Siti terjumpa diarynya dalam laci almari. Ketika itu Siti berada di asrama. Diary itu dijumpai oleh ibunya disebabkan satu kejadian pecah rumah, dimana pencuri telah memecahkan almari Siti.

Siti merasa malu bila semua rahsianya terbongkar apabila ibunya membaca diary itu. Bukan setakat satu dua diary, tetapi tiga. Seperti anak remaja yang lain, Siti juga mempunyai bermacam-macam masaalah dan kesedihan. Diary2 itu adalah tempat Siti mencurahkan segala perasaannya untuk melepaskan tension.

Semasa di asrama Siti tidak punya ramai kawan dan tiada tempat untuk mengadu selain mencatatkan kesedihannya didalam diary. Siti rasa dengan cara begitu sekurang-kurangnya dia tak akan terjebak dengan anasir2 yang tidak baik atau menjadi anak yang rosak akhlak semasa berada jauh dari keluarga. Siti mengeluh panjang....